Saturday, October 2, 2010

Jihad

Posted by Unknown at 1:42 PM


 Perkataan Jihad adalah kalimah bahasa Arab yang telahpun diserap ke dalam bahasa Kebangsaan.  Fonatik kalimah ini sangat ringkas dan mudah.  Namun begitu masyarakat awam mempunyai persepsi dan pemahamannya yang tersendiri terhadap Jihad. Umumnya ramai yang memahami Jihad sebagai suatu aksi yang dikaitkan dengan perjuangan dengan menggunakan senjata dan secara fizikal semata-mata. Kalimah Jihad semata-mata hanya disinonimkan dengan beberapa aksi yang bersifat kekerasan dan begitu drastik, melibatkan senjata api dan berlaku pertumpahan darah atas dorongan untuk mendapatkan Syahid. Pastinya tidak ramai yang menyedari bahawa pegangan sesetengah mereka yang fanatik dan buta ilmu terhadap istilah jihad membawa kepada tercemarnya istilah suci jihad itu di mata orang Islam dan juga bukan Islam.

2.         TAKRIF JIHAD

Dari sudut bahasa, Jihad berasal daripada kalimah “al-Juhd” , yang  bererti keberatan dan kesusahan. Dipandang dari sudut ini, maka Jihad bererti mencurahkan daya dan tenaga kekuatan dalam usaha mencapai suatu matlamat atau cita-cita mulia dan ideal, iaitu matlamat dan cita-cita Islam serta mendapat  keampunan Allah, keredhaan dan rahmatNya.  Dalam pengertian  yang lain, Jihad adalah mencakupi suatu usaha bersungguh-sungguh untuk mencapai satu-satu tujuan yang diingini atau mempertahankan sesuatu yang tidak diingini dengan berbagai cara: alat, ilmu pengetahuan dan sebagainya.

Jihad menurut al-Quran adalah umum dan menyeluruh, iaitu merangkumi semua aspek daya dan tenaga kemampuan dan kekuatan seseorang Islam dalam menghadapi musuh-musuhnya demi untuk mencapai cita-cita yang digariskan oleh al-Quran.  “Musuh-musuh” yang dimaksudkan di sini adalah meliputi musuh dalaman manusia iaitu Syaitan berupa manusia dan juga  Jins yang kerap menggoda nafsu manusia dalam bentuk zahir ataupun batin.

Dalam al-Quran, penegasan mengenai kefarduan Jihad terdapat dalam berbagai ayat. Di antaranya menyentuh Jihad berbentuk suruhan bersungguh-sungguh melaksanakan ibadah (keupayaan melawan hawa nafsu), memperkaya ilmu, menggunakan al-Quran sebagai makanisma untuk menegakkan kebenaranpengorbanan harta dan juga berbentuk pengorbanan jiwa. 


3.         JIHAD SEBENAR DALAM ISLAM

Berdasarkan nas-nas al-Quran terdapat dua pembahagian besar terhadap Jihad, PertamaJihad Agung  iaitu Jihad ke atas nafsu serta menentang tipu daya syaitan. Kedua;  Jihad Kecil, iaitu meliputi bentuk-bentuk Jihad yang lain sepertiJihad dengan hati (berdoa), Jihad dengan lisan (nasihat dan tutur kata) atau kalam (penulisan), Jihad dengan ilmu dan pelajaran (memberi pengetahuan), Jihad dengan harta (infak dsb.) dan seterusnya Jihad dengan tubuh badan dan nyawa.

Jihad nafsu bermaksud jihad untuk membersihkan jiwa dan mensucikan hati dan sifat-sifatnya yang rendah dan keji untuk diisi dengan sifat-sifat yang mulia dan terpuji.  Ringkasnya ia merupakan Jihad untuk mentaati Allah, tunduk kepada perintahNya sepanjang masa.  Ia dianggap Jihad Agung kerana luas medan perjuangannya yang tidak terbatas dan terhad bagi menangkis musuh yang tidak dapat dilihat oleh pancaindera.

 Sebagaimana yang dijelaskan di atas bahawa Jihad yang paling tinggi ialah Jihad melawan nafsu. Jihad melawan nafsu meliputi kesanggupan kita bersabar terhadap segala kesulitan dan cabaran-cabaran getir dalam menjalankan dakwah semata-mata kerana Allah S.W.T.  Termasuk juga Jihad melawan nafsu adalah Jihad melawan syaitan. Menurut Ibn Al-Qaiyim, hal ini dapat dilakukan dengan dua cara, iaitu, Pertama:  dengan cara menolak bisikan yang dilemparkan ke dalam hati, sama ada perasaan waswas, syak wasangka atau keraguan yang menggoyahkan keimanan.  Kedua:  dengan melawan bisikan syaitan di dalam hati yang sentiasa mengajak melakukan perbuatan maksiat dan mungkar.  Untuk melawan kedua-duanya ini hendaklah iman diperkukuh dan sentiasa sabar dan menahan diri.

Dalam hubungan ini, Jihad Agung iaitu melawan dan menundukkan nafsu yang bersarang dalam hati lebih diutamakan daripada Jihadmelawan musuh yang berbentuk luaran.  Apabila gagal menundukkan nafsunya untuk berbakti kepada Allah S.W.T., tidak  mungkin baginya berdaya memerangi musuh yang berada di luar, kerana ia masih terkongkong oleh nafsunya sendiri.

 Al-Qhardawi menjelaskan bahawa pendidikan (tarbiyah) dan pembinaan insan adalah lebih utama dalam melaksanakan Jihad. Tarbiyah dan pembinaan yang dimaksudkan ialah pembangunan insan mukmin yang mampu dan sanggup membawa beban dan tugas dakwah, tidak bakhil harta dan jiwa serta teguh dalam menghadapi setiap dugaan dan cubaan yang dilaluinya, demi menegakkan kalimah Allah S.W.T. Ibnu al-Qaiyim menjelaskan bahawa termasuk Jihad melalui bidang ilmu ialah dalam aspek pembabitan kita dalam aspek-aspek perancangan, termasuk menyediakan perancangan berstrategik, pelaksanaan dan sebagainya. 

4.         JIHAD DENGAN SENJATA

        Perinsip umum Islam adalah agama yang mementingkan kedamaian daripada peperangan. Islam menganjurkan semua manusia terutama pemeluk-pemeluknya supaya sentiasa menjaga keamanan dan berbaik-baik kepada semua bangsa dan penganut agama lain, kecuali kedudukan Islam terinaya atau terancam. Firman Allah S.W.T. dalam Surah al-Baqarah, ayat 190 yang bermaksud;

 “Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan), kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh”.

 

Firmam Allah dalam Surah al-Haj, ayat 39-40, bermaksud;

 

“Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya Allah amat berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan)”.

 

“Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana berkata: Tuhan Kami adalah Allah”. 

 

Berdasarkan nas-nas al-Quran di atas adalah jelas bahawa jihad dengan menggunakan senjata mestilah menepati syarat-syarat yang ketat dan bukti-bukti yang jelas seperti kita boleh menentang mereka yang memerangani atau menghalau kita dari tanah air kita yang dicintai. 


5.         KEFAHAMAN JIHAD DI MALAYSIA

Kebanyakan mereka yang terjebak dengan gerakan jihad di negara kita sama ada secara sedar atau tidak sedar telah dipesongkan pegangan mereka mengikut pengertian yang amat sempit dan menyeleweng dari segi ajaran Islam yang sebenar.   Mereka yang terpengaruh itu sering kali terperangkap dengan gerak  saraf secara halus oleh musuh-musuh Islam atau mereka yang menjadi kuda tunggangan musuh-musuh Islam dengan tujuan untuk menghuruharakan atau menggugat negara yang setabil, aman dan sejahtera.

Dari tinjauan yang telah dibuat melalui akhbar dan media massa didapati mereka yang terjebak dengan gerakan jihad militan ini adalah terdiri daripada mereka yang jahil mengenai pengertian sebenar tentang istilah ‘jihad’ atau mereka berpegang pengertian ini secara menyeleweng.

Kedapatan juga mereka yang terlibat dengan gerakan jihad ini terpengaruh dengan gerakan jihad yang berlaku di luar negara seperti di Palastine, Bosnia dan sebagainya.  Mereka menganggap suasana di luar negara yang menindas dan membunuh orang-orang Islam di sana adalah sama keadaannya dengan Malaysia yang mendesak mereka atau menuntut mereka untuk berjihad.  Tanggapan atau perbandingan mereka amat jauh terpesong dengan ajaran Islam yang menyuruh mereka berjihad kerana di Malaysia tidak ada suruhan membunuh orang-orang Islam yang lain dan pihak pemerintah senantiasa menggalakkan berjihad dalam ertikata yang lebih luas.

Satu lagi bukti pegangan salah oleh mereka yang terjebak dengan apa yang dinamakan gerkan jihad di Malaysia ialah kepercayaan dan pegangan mereka bahawa Malaysia bukan sebuah negara Islam.  Kepercayaan yang mereka pegang ini hasil daripada didikan dan momokan yang begitu lama oleh pihak-pihak tertentu yang membentuk minda serta keimanan mereka bahawa gerakan perlu dibuat untuk menubuhkan sebuah negara Islam mengikut acuan dan impian mereka.

Kepercayaan dan pegangan mereka ternyata salah dari segi siasah dan keputusan-keputusan serta pengiktirafan dunia Islam yang meletakkan Malaysia adalah sebagai sebuah negara Islam.  Pengiktirafan tersebut bukan sahaja terbatas oleh dunia Islam tetapi ia juga diiktiraf  oleh ulamak-ulamak di negara ini yang tergolong daripada mereka yang tidak ada kepentingan tertentu yang mengisytiharkan bahawa Malaysia adalah sebagai sebuah negara Islam yang telah memenuhi syarat dan kriteria yang dikehendaki oleh para fuqaha’ (ahli-ahli fiqah) yang mu’tabar. 


        Dari itu gerakan jihad untuk menentang Kerajaan sekarang ini adalah tidak benar  dan salah dari segi syarak serta kehendak-kehendak Islam.  Ini adalah kerana pemerintah yang ada sekarang senantiasa berusaha dan telah terbukti memajukan Islam.


0 comments on "Jihad"

Post a Comment

 

Majlis Gabungan Bersatu Malaysia Copyright 2011 MG Bersatu Designed by Fariz Tiger Image by Afat's Notez Distributed by A*F*T