Tuesday, December 7, 2010

Doa Hijrah...

Posted by Unknown at 4:43 AM
Salam sahabat-sahabat yang dikasihi. Hanya beberapa hari saja lagi tahun 1431H akan pergi meninggalkan kita dan tahun baru hijrah 1432 akan mendatangi kita. Berbahagialah mereka yang diberi kekuatan oleh Allah sepanjang tahun 1431 H dan memenuhi sepanjang tahun tersebut dengan ketaatan dan amal soleh. Rugi dan hinalah pula bagi mereka yang kesilapan, kelemahan, kemaksiatannya lebih banyak dari kebaikan dan amal soleh. Namun Allah s.w.t amat menyayangi hambaNya dan bersedia untuk menerima taubat hambaNya asal saja mereka kembali ke pangkal jalan dan bertaubat kepada Allah dengan taubah al nasuha. Taubah yang sungguh-sungguh yang lahir dari keinsafan dan penyesalan terhadap kesilapan lampau.
Di penghujung tahun hijrah ini kita amat digalakkan untuk bertaubat, beristighfar dan kembali kepada Allah dan membaca doa akhir tahun dengan harapan agar segala dosa2 dan kemaksiatan yang pernah kita lakukan sepanjang tahun diampuni oleh Allah. Kita perlu kembali kepada Allah dan bertaubat kerana kita tidak tahu apakah masih ada bagi kita peluang untuk menemui tahun baru yang akan datang. Alangkah bahagianya diri se orang hamba yang bertaubat kepada Allah di akhir tahun lantas Allah ampunkan dosanya, maka jika ditakdirkan dia pergi menemui Allah, maka dirinya di sisi Allah seakan bayi yang baru saja dilahirkan ke dunia. Tanpa dosa. Tanpa maksiat.
Selain doa akhir tahun, kita juga disunatkan membaca doa awal tahun dengan harapan agar tahun baru ini memberikan kita cahaya harapan baru dalam mengharungi hidup yang penuh dengan cabaran ini. Pohonlah kepada Allah agar diberikan kepada kita, keluarga kita, jiran tetangga kita, masyarakat keliling kita, pemimpin2 kita dan ummat Islam seluruhnya – keimanan, keikhlasan, kesabaran dan kemenangan dalam menentang musuh-musuh durjana yang sentiasa mengintai-intai peluang untuk memusnahkan ummat Islam. Moga tahun 1432H menjadi tahun KEMENANGAN kepada umat Islam seluruh dunia insya Allah.



0 comments on "Doa Hijrah..."

Post a Comment

 

Majlis Gabungan Bersatu Malaysia Copyright 2011 MG Bersatu Designed by Fariz Tiger Image by Afat's Notez Distributed by A*F*T